Thursday, July 21, 2011

Kisah Halia dan Kita


Hari ini saya terdetik untuk menulis mengenai halia. Puncanya gara-gara nasi lemak yang saya makan sementara menunggu kereta dicuci di car wash. Saya sekadar memesan nasi lemak kosong yang biasa. Tambahan pula saya memang tiada selera untuk menjamah sarapan yang enak-enak walaupun perut saya terbiar kosong tidak berisi kerana mahu membuat ujian darah.

Berbalik kepada nasi lemak itu tadi, sebaik dihidangkan di depan saya, kelihatan tiada beza dengan nasi lemak biasa yang lain. tetapi apabila saya menguis-nguis nasi dengan sudu dan garpu, terserlah hirisan halia. Bukan sedikit tetapi banyak. Hati saya berkata mungkin tuan kedai mahu menambah kelazatan nasi lemaknya. Mak saya pun buat nasi lemak ada letak halia juga. Maka saya tidak hairan. Saya mulakan menjamah nasi lemak. Ehm..begitu terasa halianya. Saya menyuap lagi. Ehm..tergigit halia pula. Tapi saya telan juga.

Sambil suapan demi suapan disua ke dalam mulut, saya berfikir. Macam mana kalau orang yang tak biasa makan halia, makan nasi lemak ni. Bagi saya yang biasa termakan halia, memang tidak menjadi masalah. Tetapi macam mana pula kalau yang makan nasi lemak ni adalah kanak-kanak? Jangan kata kanak-kanak, adik saya yang sudah tingkatan 1 itu pun pasti menolak jika merasa halia atau rempah-ratus dalam nasinya.

Saya tidak menyalahkan halia kerana ia memang tidak bersalah. Nasi lemak juga tidak bersalah. Tetapi tuan kedai selaku pembuat nasi lemak itu yang berlebih-lebih meletakkan halia dalam nasi lemak itu. Akibatnya nasi lemak itu sudah bertukar rasa menjadi nasi halia. Hilang rasa lemaknya, timbul rasa halia berlebih-lebihan. Niat tuan kedai untuk menyedapkan nasi lemaknya nampaknya hanya menyebabkan ia menjadi tidak sedap pula. Sudahnya halia itu bukan dimakan pun sebaliknya ditolak ke tepi pinggan.

Saya cuba mengaitkan situasi ini dengan kehidupan seharian. Selalu terjadi situasi di mana kita terlalu berlebih-lebihan sedangkan perkara berkenaan tidak perlu. Saya juga adakalanya terkena tempias situasi ini. Contoh paling mudah ialah membeli kasut. Perempuan memang tidak boleh dipisahkan dengan kasut. Pada suatu ketika yang gila, saya membeli 3 pasang kasut sekaligus. Kononnya murah dan mahu di'match'kan dengan baju. Kesudahannya, saya hanya memakai kasut-kasut berkenaan sekali dua dan kemudian kembali semula kepada kasut lama saya yang lebih selesa di kaki.

Itulah yang terjadi bila kita terlalu berlebih-lebih apabila membeli atau membuat sesuatu sedangkan perkara itu bukan penting pun! Kalau ada ok, tak ada pun takpe. Tak terjejas apa-apa pun. Sebab itu saya selalu mengingatkan diri saya supaya berfikir sebelum bertindak. Adakah perkara/benda itu suatu keperluan atau dorongan kehendak semata-mata? Adakalanya saya menggeleng kepala melihat segelintir rakan yang menggunakan kuasa membeli tanpa berfikir. Beli sesedap rasa, membazir duit ke arah benda yang mahal tetapi kesudahannya benda itu hanya digunakan sekali dua dan ada antaranya tak digunakan langsung! Hanya menjadi perhiasan untuk ditayangkan kepada rakan-rakan yang lain dengan statement "Aku ada benda ni. Kau ada?"

Maka apabila kita membuat sesuatu, fikirlah. Jangan jadi seperti nasi lemak yang terlebih halia sedangkan halia itu tak dijamah pun. Bukannya bertambah sedap pun. Malah membazirkan halia tuan kedai saja.

2 comments:

  1. erm... betul2. nasib baik sy suke halia. ngee...

    bab kasut tu nsb baik juga x suke soping kasut, tp klu baju kurung tu ye, hehe

    ReplyDelete
  2. kekadang kita tak sedar kan, benda tu sebenarnya da banyak tapi kita nak jugak lagi, lagi dan lagi..

    ReplyDelete

Love you to the moon and back!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...